KUALA LUMPUR: Strategi meningkatkan daya saing produk tempatan dalam pasaran antarabangsa, khususnya bagi sektor kelapa sawit dan getah perlu dinilai semula oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) berkata ia terutama dengan cabaran seperti sekatan eksport dan diskriminasi terhadap produk kelapa sawit.
Beliau juga mengangkat isu penubuhan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) yang bertujuan untuk menjaga kelestarian alam dan hidupan liar.
Beliau meminta penjelasan mengenai program-program lain yang dijalankan oleh MPOGCF itu, terutama dalam bidang inovasi dan permodenan.
“Pasir Salak menyokong usaha memperluaskan penyelidikan dan pembangunan R&D untuk menghasilkan produk hiliran bernilai tambah yang tinggi,” katanya, merujuk kepada program seperti biofool, bioplastik, dan produk getah perubatan.
Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam perbahasan itu, beliau menggesa kerajaan untuk komited dalam menangani tuduhan penggondolan hutan, dengan memberi tumpuan kepada pematuhan piawaian antarabangsa seperti RSPO (Roundtable on Sustainable Palm Oil).
Beliau menggesa komitmen kerajaan dalam menangani tuduhan penggondolan melalui pematuhan kepada standard antarabangsa seperti RSPO.
Jamaluddin turut mencadangkan agar kerajaan menggubal Akta Kerja 1955 untuk menambah jumlah cuti tahunan pekerja ladang dan swasta daripada 16 hari kepada 25 hari setahun.
Beliau juga ingin mengetahui jumlah pekebun kecil yang terlibat dalam peningkatan penyertaan mereka dalam ekonomi komoditi dengan bantuan kewangan dan latihan.
Beliau berharap agar subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan untuk mengelakkan pembaziran fiskal bagi mengelakkan pembaziran seperti yang dikemukakan dalam dasar kerajaan baru-baru ini.
Dalam aspek diversifikasi ekonomi, Jamaludin menyokong pengembangan komoditi alternatif seperti kenaf dan koko, serta menyarankan agar industri kelapa dimasukkan sebagai salah satu komoditi negara.
“Adakah kerajaan berhasrat untuk menjadikan industri kelapa dimasukkan dalam salah satu industri komoditi negara memandangkan pokok kelapa juga mempunyai potensi yang sangat besar mengeluarkan hasil daripada akar sampai ke pucuk boleh dimanfaatkan sebagai industri utama dan produk hiliran,” soalnya.
Beliau juga menggesa agar butiran terperinci penggunaan dana dan pembangunan sektor disediakan untuk mengelakkan ketirisan dan laporan Ketua Audit Negara boleh dijadikan asas perbahasan itu.
“Kementerian mesti memastikan kejayaan program seperti pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 untuk sektor perladangan dan komoditi dijalankan dengan lebih terurus dan telus,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2024