Malaysia perlu strategi kukuhkan sektor besi keluli

Dato' Sri Saifuddin Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penjelasan oleh kerajaan diperlukan mengenai langkah strategik untuk memastikan daya saing sektor besi dan keluli, khususnya di Malaysia.

- Advertisement -

Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) menekankan bahawa Malaysia bebas berdagang dengan mana-mana negara, namun perlu berhati-hati terhadap isu lambakan dan tekanan geopolitik.

“Apa perancangan kita yang lebih khusus untuk daya saing kita?” katanya, sambil merujuk kepada penglibatan syarikat besar seperti Alliance Steel di Malaysia China Kuantan Industrial Park (MCKIP).

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, menjelaskan sektor besi dan keluli di Asia Tenggara menghadapi masalah overkapasiti, dengan kapasiti dijangka meningkat daripada 75 juta metrik tan pada 2021 kepada 150 juta metrik tan menjelang 2027.

Menurutnya, masalah itu diperburuk oleh kelembapan ekonomi China, terutama dalam sektor pembinaan dan hartanah, yang turut memberi kesan kepada Malaysia.

Jelasnya, kerajaan melalui MITI telah menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menangani isu itu, dan laporan hala tuju strategik akan diumumkan tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 18/11/2024