KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan inisiatif yang dilakukan kepada bagi menangani isu membabitkan akidah pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Zakri Hassan (PN-Kangar) berkata, perkara itu perlu didedahkan kepada masyarakat agar memahami situasi sebenar sekali gus menyekat penularan fahaman sonsang itu daripada terus menular.
“Minta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah diambil dalam menangani isu GISBH yang telah timbul sejak sekian lama,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara bekerjasama menangani isu itu.
Selain itu katanya usaha sama dilakukan bersama agensi diperingkat negeri terutamanya majlis agama Islam negeri dan jabatan agama Islam negeri serta bahagain pendakwaan syariah.
Beliau berkata usaha itu bagi memastikan langkah strategik dapat diambil menangani isu itu dengan lebih berkesan, malah dalam hasrat tersebut, pihaknya turut menyusun lima pendekatan.
“Pertama membentangkan kajian dan penyelarasan fatwan bersama negeri, kedua penguatkuasaan dibawah perundangan syariah berdasarkan penemuan dan siasatan dijalankan pihak berkuasa agama negeri.
“Ketiga mengadakan program pemulihan akidah secara holistik kepada ahli GISBH, ketika ini kerajaan telah melancarkan program ini rehabilitasi secara sukarela kepada semua ahli GISBH.
“Kempat menjalankan pemantauan berterusan terhadap keseluruhan aktiviti bekas pengikut al-Arqam itu dan akhirnya, menjalankan program penjelasan fatwa GISBH kepada masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2024