Air tandak dialir ke sawah di Machang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bagi meningkat pengeluaran padi di Kelantan kerajaan negeri berusaha membaik pulih semula bendang-bendang terbiar termasuk di jajahan Machang.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sawah terbabit terbiar tanpa diusahakan disebabkan masalah pengairan.

Katanya, bagi mengatasi masalah itu beberapa perbincangan diadakan bagi mencari sumber air untuk dialirkan ke kawasan sawah di Machang.

“Antaranya kita laksanakan pengairan bersumberkan air tandak. Satu daripada projek itu diluluskan di Kampung Simpang Guntung yang boleh mengairi 300 ekar sawah.

“Saliran air tandak daripada puncak bukit dijangka siap bulan ini dan kawasan takungan air khas dibina untuk tanaman padi di Dun Kemuning,” katanya di sini.

Menurutnya juga perbincangan dibuat dengan Pejabat Tanah dan Jajahan Machang serta Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran Machang bagi memulihkan sawah terbiar di jajahan tersebut.

Selain itu kawasan baharu yang sesuai dengan tanaman padi dikenal pasti termasuk tanah rizab kerbau di Tumpat.

Kata beliau program itu akan dilaksanakan di bawah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Kelantan di Kampung Ana 1, Ana 2 dan Ana 3 di Tumpat.

“Kerajaan negeri bekerjasama dengan KADA untuk bangunkan tanah yang belum ditanam padi iaitu kira-kira 200 ekar.

“Di kawasan itu sistem pengairan dan saliran yang sudah ada, cuma perlu disambung sedikit sampai untuk sampai ke lokasi terbabit.

“Kawasan itu sesuai dibangun dengan mewujudkan sawah skala besar seperti Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB),” ujarnya.

Oleh itu katanya kerajaan negeri dan pusat bekerjasama bagi membangunkan lebih banyak SMART SBB seperti di Sekinchan, Selangor di Kelantan. – HARAKAHDAILY 18/11/2024