KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 ajaran sesat terbaru yang kini dalam pemantauan secara khusus JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam di Negeri-Negeri dan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Demikian dinayatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dalam jawapan bertulis kepada soalan Sabri Azit (PN-Jerai) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sabri dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah pengawalan ajaran sesat dan nyatakan jumlah terbaru ajaran sesat yang muncul di negara ini.
Menurut Na’im, pihak kerajaan menyedari bahawa ajaran sesat atau isu-isu ancaman akidah masih lagi wujud sekalipun telah difatwakan dan dikenakan tindakan.
“Pada masa ini, kumpulan dan individu yang membawa fahaman menyeleweng ini banyak bergerak melalui media sosial/dalam talian,” ujarnya.
Tambahnya, bagi melaksanakan pendekatan yang lebih tersusun untuk membendung penularan ajaran sesat ini, JAKIM telah memperkasakan penyelarasan tindakan melalui jawatankuasa dengan Jabatan Agama Islam Negeri dan juga agensi berkaitan di peringkat Persekutuan antaranya Jawatankuasa Pemandu Ajaran Sesat (JAPAS), Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Islam Kebangsaan (JAPPIS) dan Panel Pakar Akidah (PPA).
Katanya, Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 5 Mei 1996 telah memutuskan pandangan hukum supaya umat Islam di negara ini berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wal-Jamaah sama ada dari segi akidah, syariah mahupun akhlak.
Selain itu, ujarnya dalam rangka untuk menangani serta membendung penularan ajaran sesat dan menyeleweng, JAKIM telah mengambil beberapa langkah dan pendekatan bagi mengekang ajaran.
Antaranya, kata beliau memperkukuh kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) melalui jaringan dan kolaborasi dalam aspek penyelidikan, siasatan serta pengesanan terhadap ajaran dan doktrin yang meragukan atau disyaki menyeleweng, Mendapatkan pandangan daripada Panel Pakar Akidah (PPA) yang terdiri daripada tenaga-tenaga pakar dalam bidang akidah dan aliran pemikiran dalam memberi nasihat terhadap isu-isu akidah umat Islam di Malaysia.
Selain itu, ujarnya melaksanakan kajian komprehensif sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), mengesyorkan kepada Jabatan Mufti Negeri-Negeri agar mengeluarkan fatwa mengenai ajaran terbabit mengikut peruntukan dan bidang kuasa masing-masing berpandukan kepada pandangan hukum oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI.
Di samping itu, jelasnya mengaktifkan platform perbincangan melalui Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS) dan Mesyuarat Ketua-ketua Jabatan / Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia (MKJ) bagi mengemaskini maklumat dan pelan tindakan, bekerjasama dengan rakan strategik yang terdiri dari agensi penguatkuasaan di peringkat negeri dan persekutuan seperti Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan lain-lain.
“Mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup bersama kumpulan atau individu yang terlibat dengan ajaran yang meragukan, memberi kaunseling dan khidmat nasihat agama kepada mereka yang terlibat bagi membantu meluruskan kembali pegangan akidah serta mengembalikan semula kehidupan mereka dalam masyarakat, menjalankan aktiviti serta program yang bersesuaian melalui pendekatan dakwah bil hal atau pendekatan dakwah bil lisan bagi menyebarluas serta memantapkan kefahaman Islam yang sebenar berdasarkan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Tambahnya, menggiatkan usaha dan memanfaatkan platform media baharu/dalam talian dengan menganjurkan sesi-sesi diskusi ilmiah, penjelasan dan perkongsian ilmu untuk memaham serta menyedarkan masyarakat akan kewujudan aliran-aliran pemikiran dan ajaran serta doktrin yang menyeleweng tersebut. – HARAKAHDAILY 18/11/2024