PUTRAJAYA: Betapa pentingnya peranan kejuruteraan sebagai fardu kifayah yang melengkapi keperluan fardu ain dalam membina masyarakat Islam yang progresif, kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Afnan turut mengimbas usaha Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memperkenalkan syarat minimum tiga bilik untuk rumah kos rendah di bawah Majlis Bandaran Kota Bharu Islam (MBKB) pada 1995 di Kelantan.
“Peraturan ini menunjukkan bagaimana kuasa politik dapat menerapkan nilai Islam dalam pembangunan masyarakat.
“Bidang kejuruteraan bukan sekular, tetapi sebaliknya memenuhi keperluan fardu kifayah sebagai contoh penyediaan teknologi air bersih untuk kemudahan ibadah seperti solat.
“Selain itu, ia juga sebagai pelengkap kepada fardu ain bagi memastikan keperluan asas umat Islam dipenuhi melalui kepakaran teknikal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Simposium Kluster Kejuruteraan anjuran Jabatan Profesional Muda (JPro) melalui Dewan Pemuda PAS Malaysia di Auditorium 1, Kompleks Kejiranan Presint 16, di sini, hari ini. (Foto atas)
Justeru, Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar turut menyeru kepada masyarakat agar mengubah mentaliti untuk mengiktiraf kejuruteraan sebagai ibadah kolektif di mana hanya sebahagian individu sahaja yang perlu mendalami bidang ini untuk memenuhi keperluan seluruh komuniti.
Sementara itu, beliau turut melancarkan logo rasmi program dan menyampaikan penghargaan kepada tiga pembicara ucaptama iaitu Rektor, Kolej Universiti TATI (UC TATI), Prof Ir Dr Hairul Azhar Abdul Rashid, bertajuk Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Melalui Laluan Kejuruteraan.
Seterusnya, ucaptama kedua oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS), Prof Madya Dr Mohd Hanif Yaacob, bertajuk Kerajaan SG4 Pembolehdaya Agenda Pembolehdaya Agenda Ekonomi Nasional.
Selepas itu, ucaptama disampaikan oleh Ahli Parlimen Jerantut merangkap Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional (PN), Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, bertajuk Kerajaan SG4 Pembolehdaya Agenda Pembolehdaya Agenda Ekonomi Nasional. – HARAKAHDAILY 17/11/2024