PUTRAJAYA: Simposium Kluster Kejuruteraan 2024 anjuran Jabatan Profesional Muda (JPro) di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mencatatkan kehadiran lebih 100 peserta pada acara sulungnya hari ini.
Simposium yang berlangsung di Auditorium 1, Kompleks Kejiranan Presint 16 ini menghimpunkan tenaga profesional muda dalam bidang kejuruteraan untuk menyelami isu, cabaran dan solusi terkini yang merangkumi 10 bidang kejuruteraan.
Antaranya ialah Kejuruteraan Pembinaan; Kejuruteraan Lebuhraya dan Pengangkutan; Kejuruteraan Perlombongan, Minyak dan Gas; Perkhidmatan Bangunan, Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrik; dan Pembuatan, Pertanian, Kejuruteraan Makanan.
Seterusnya, Analitis Data, Kejuruteraan Komputer dan Telekomunikasi; Kejuruteraan Perubatan; Kejuruteraan Akademik; Kejuruteraan Tenaga dan Utiliti; dan Alam Sekitar, Kesihatan dan Keselamatan.
Sementara itu, seramai 10 pembentang oleh pakar berpengalaman turut diadakan untuk menampilkan pelbagai perspektif dalam menangani cabaran semasa serta memanfaatkan peluang teknologi terkini.
Program itu bertujuan untuk meningkatkan kompetensi profesional muda, memupuk hubungan rangkaian antara individu dalam pelbagai bidang kejuruteraan, dan menyumbang idea ke arah pembangunan negara yang lestari dan berdaya saing.
Selain itu, program itu turut menjadi platform penting bagi profesional muda untuk memperkukuhkan ilmu dan membina masa depan yang lebih baik.
Untuk maklumat lanjut mengenai simposium atau pendaftaran, peserta boleh melayari laman sesawang rasmi JPro di www.jpro.org.my. – HARAKAHDAILY 17/11/2024