Perayaan Loy Krathong warisan budaya masyarakat Siam

- Advertisement -

SIK: Hampir 5,000 hadir merayakan Perayaan Loy Krathong anjuran kerajaan negeri yang diadakan di Wat Kalai, Kampung Kalai, malam tadi.

- Advertisement -

Majlis tersebut dihadiri serta dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan NGO negeri, Wong Chia Zhen.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menjaga hak dan kebajikan semua kaum di Kedah dan tidak mengamalkan sebarang dikriminasi.

“Sungguhpun masyarakat Siam merupakan golongan minoriti di Kedah tetapi kebajikan masyarakat Siam serta komuniti untuk memajukan seni dan budaya tradisional Siam di negeri ini akan diberi perhatian agar dapat diwarisi secara berterusan.

“Pada hari ini, kita semua dapat perhatikan bahawa kemeriahan Pesta Loy Krathong yang diraikan masyarakat Siam di Kedah juga turut dikongsikan bersama masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Perayaan ini juga katanya mampu menjadi tarikan kepada masyarakat khususnya kaum lain serta menjadi produk pelancongan dengan menarik minat pelancong untuk merasai sambutan ini.

“Saya yakin dan berharap program seumpama ini akan dapat memupuk semangat bertolak ansur dan persefahaman di kalangan rakyat serta perpaduan antara kaum serta budaya,” tambah beliau.

Loy Krathong merupakan perayaan tradisional masyarakat Siam yang merupakan salah satu sambutan utama komuniti tersebut.

Sempena perayaan itu juga diadakan upacara melepaskan krathong di sungai di mana mengikut kepercayaan masyarakat Siam sebagai simbolik membuang malapetaka dan mendoakan kebahagiaan. – HARAKAHDAILY 17/11/2024