KUALA TERENGGANU: Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli mengucapkan tahniah kepada seluruh barisan tenaga pengajar PASTI kawasan yang mendidik pelajar sehingga berjaya.
Beliau juga mengucapkan syabas di atas kejayaan PASTI kawasan yang muncul johan keseluruhan Alam Ria PASTI Peringkat Negeri Terengganu 2024, semalam.
“Alhamdulillah PASTI Kawasan Dungun sekali lagi dinobatkan sebagai johan keseluruhan Alam Ria PASTI Peringkat Negeri Terengganu 2024,” ujarnya dalam hantaran di laman sosialnya.
Menurutnya, sejak dari tahun 2022 hingga 2024 PASTI Kawasan Dungun masih kekal mempertahankan johan keseluruhan.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh barisan tenaga pengajar yang tidak pernah kenal erti penat lelah dalam mencurah ilmu dan mendidik anak pelajar PASTI sehingga berjaya,” ujarnya lagi.
Ahli Parlimen Dungun itu turut mengucapkan tahniah buat anak pelajar PASTI di atas semangat yang mereka usahakan sehingga peroleh kejayaan yang cemerlang.
Tambahnya, tidak lupa juga terima kasih kepada ibu bapa di atas sokongan dan dorongan yang telah diberikan kepada anak-anak anda.
“Insya-Allah, untuk tahun yang akan datang terus kekalkan kemenangan dan tingkatkan lagi prestasi moga-moga PASTI Dungun cemerlang dalam kesemua katogeri yang dipertandingkan,” katanya.
PASTI Dungun telah berjaya mendapat tempat pertama bagi acara hafazan lelaki, hafazan perempuan dan acara bercerita lelaki, tempat kedua bagi acara bercerita perempuan dan azan lelaki di samping tempat ketiga bagi acara sajak lelaki, khutbah lelaki dan pidato perempuan.
Juara bagi setiap acara akan menjadi wakil Negeri Terengganu di Alam Ria PASTI Malaysia di Alor Gajah, Melaka.– HARAKAHDAILY 17/11/2024