KUANTAN: PAS Pahang menyokong penuh tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras aktiviti pemunggahan hasil bumi secara haram yang dilaporkan berlaku di Kuantan.
“Langkah tegas ini penting demi melindungi kekayaan sumber alam negeri daripada dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab,” ujar Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Andansura Rabu dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menyatakan demikian merujuk laporan Sinar Harian berhubung tindakan SPRM menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar daerah ini yang disyaki dilindungi pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri sejak tahun 2022.
Dalam serbuan dijalankan Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh di sini pada Khamis, tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit ditahan kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.
Laporan akhbar itu memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang berkata, dalam operasi itu SPRM turut menyita wang tunai lebih RM26,000 dan tiga unit telefon bimbit daripada suspek.
“Kami mengutuk keras sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa yang mencemari integriti pentadbiran.
“Perbuatan melindungi kegiatan haram seperti ini bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga mengkhianati amanah rakyat dan mencemarkan nama baik negeri Pahang,” kata Andansura yang juga ADUN Beserah.
Tegasnya, sebagai parti yang komited terhadap prinsip tadbir urus baik, PAS Pahang menegaskan bahawa setiap pihak berkepentingan perlu berperanan memastikan sumber negeri diuruskan secara telus dan bertanggungjawab.
“Ini selaras dengan hasrat kami untuk menjadikan Pahang sebuah negeri yang bersih dan bebas rasuah,” tegas beliau.
Tambahnya, PAS negeri menyeru semua pihak, termasuk rakyat dan badan-badan berkepentingan, untuk terus bekerjasama dalam melaporkan aktiviti haram serta mengekalkan kepercayaan kepada agensi penguatkuasaan seperti SPRM.
Katanya, siasatan yang telus dan tindakan yang adil amat penting untuk menjamin keadilan ditegakkan.
“PAS Pahang akan terus memantau perkembangan kes ini dan memberi sokongan kepada usaha memelihara integriti negeri demi kesejahteraan rakyat Pahang,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 16/11/2024