KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya berhasrat untuk membina satu sekolah tahfiz setiap jajahan.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini kerajaan negeri sedang membina di Gua Musang dan Kuala Krai, sementara Jeli tidak mempunyai sekolah tahfiz bernaung di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
“Arwah Tok Guru kata satu jajahan satu tahfiz, tahun lepas Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang umum Kuala Krai dan Gua Musang, satu jajahan tiada lagi sekolah tahfiz ini ialah jajahan Jeli.
“Menteri Besar pernah mengangkat cadangan ini kepada Perdana Menteri baru-baru ini untuk bantu kita lebih kurang RM70 juta untuk bina bangunan akademik sekolah ini, telah diangkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Apresiasi Guru Terbaik Mata Pelajaran Peperiksaan SMU/SMTQ/SMU (DINI)/STUP/SPM/STAM tahun 2023 di sini hari ini. (Foto atas)
Hadir sama Timbalan Pengarah YIK (Pengurusan), Mohd Kamaruddin Omar; Timbalan Pengarah YIK (Sekolah), Che Kamarudin Kamel Che Muhammad dan Timbalan Pengarah YIK (Kenaziran), Sukeri Hussin.
Wan Roslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor menjelaskan Perdana Menteri telah setuju tetapi tiada susulan jawapan diberikan oleh kerajaan Persekutuan sehingga hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri mengadakan kunjungan dan pertemuan tertutup ke atas Menteri Besar bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Mei lalu. – HARAKAHDAILY 16/11/2024