Kelantan bekerjasama dengan YIM tubuh Ruang Daya Cipta

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan bekerjasama dengan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk menubuhkan Ruang Daya Cipta (RDC) di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Jalan Hamzah di sini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, RDC merupakan hab reka cipta, teknologi dan inovasi kepada pelajar.

Beliau berkata kerajaan negeri menyediakan tapak sementara YIM menyumbangkan dana sebanyak RM300,000 untuk menyediakan kemudahan selain teknologi termasuk kecerdikan buatan (AI).

“Saya telah membawa YIM untuk membuka RDC di UTC yang disumbangkan oleh YIM, sebanyak RM300,000, insya Allah akan menjadi kenyataan tahun depan, kita akan buka di UTC Jalan Hamzah.

“Usaha ini untuk dimanfaatkan oleh anak-anak pelajar kita di Kelantan ini,” katanya selepas Majlis Apresiasi Guru Terbaik Mata Pelajaran Peperiksaan tahun 2023 di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah YIK (Pengurusan), Mohd Kamaruddin Omar; Timbalan Pengarah YIK (Sekolah), Che Kamarudin Kamel Che Muhammad dan Timbalan Pengarah YIK (Kenaziran), Sukeri Hussin.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor itu juga turut mengumumkan hasrat kerajaan negeri untuk menubuhkan Akademi Sains Malaysia cawangan Kelantan.

Beliau berkata pihaknya mencadangkan untuk menjadikan sebuah premis milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di pusat bandar Kota Bharu sebagai tapak pusat pembelajaran tersebut.

Menurutnya, lokasi tersebut akan dijadi pusat pembelajaran sains dan teknologi bagi pelajar-pelajar di negeri untuk mendalami ilmu pengetahuan termasuk ilmu astronomi, melihat anak bulan dan sebagainya.

“Alhamdulillah kita cadangan sebuah bangunan Hankyu Jaya di Kota Bharu, tempat tu, tetapi memakan kos yang sangat besar untuk renovate, kena renovate berjuta dah, dia nak yang siap dah.

“Dia hanya buat mari bahan dan peralatan yang melibatkan peruntukkan yang besar, sebab itu kita cadang situ untuk sekali dengan Balai Cerap untuk lihat anak bulan bagi pendedahan pelajar,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2024