DONALD Trump telah memenangi pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang telah diadakan pada 5 November lalu mengalahkan Naib Presiden AS yang juga calon Parti Demokrat Kamala Harris dengan memperolehi jumlah undian sebanyak 50.5 peratus termasuk memperolehi 312 ‘electoral votes’, jauh meninggalkan pencabar-pencabarnya yang lain.
Sebagai sebuah negara kuasa besar, pilihan raya presiden AS pada kali ini penting kerana ia bakal mempengaruhi dasar luar negara khususnya Dunia Islam sekurang-kurangnya untuk tempoh empat tahun mendatang.
Sementara menunggu tarikh 20 Januari 2026 untuk ditabalkan secara rasmi sebagai Presiden AS yang baharu, pasukan Trump kini sedang sibuk merangka pelbagai strategi dan dasar luar baharu AS yang amat dinanti-nantikan dunia berikutan pelbagai konflik yang berlaku di serata dunia.
Terdapat dua agenda utama yang dirasakan akan menjadi keutamaan pentadbiran Trump sebaik sahaja melangkah masuk ke Rumah Putih – pertama, mengukuhkan kembali hegemoni AS; dan kedua, mengekang kebangkitan China, Rusia dan Iran yang kini dilhat berusaha menguburkan terus ‘New World Order’ ciptaan Barat.
Untuk melaksanakan dua agenda ini, terdapat dua perkara penting yang perlu dilaksanakan oleh pasukan Donald Trump sebaik sahaja melangkah masuk ke Rumah Putih:
Agenda pertama: Menamatkan perang Ukraine-Rusia
Ketika berkempen pada pilihan raya Presiden AS, Trump berjanji sebaik sahaja melangkah masuk ke Rumah Putih, dalam masa 24 jam beliau akan menamatkan perang antara Ukraine dan Rusia.
Menurut pandangan beliau, perang tersebut sebenarnya menguatkan China dan melemahkan cengkaman AS ke atas negara-negara Eropah.
Ketika Trump menjadi Presiden AS dari tahun 2017-2021, antara agenda utama beliau ialah membina hubungan baik dengan Rusia khususnya Presiden negara itu, Vladimir Putin.
Tujuannya adalah untuk memisahkan Rusia dan China kerana beliau beranggapan jika AS memusuhi Rusia, maka Rusia akan beralih serta akrab dengan China.
Jika senario ini berlaku, AS akan berhadapan dengan malapetaka besar baik dari sudut geopolitik dan ekonomi.
Antara langkah yang diambil beliau ialah mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong Un bagi memencilkan peranan China di Asia Timur.
Dengan Jepun, Korea Selatan dan Taiwan dibawah pengaruh AS, maka jika Korea Utara berjaya dibawa keluar dari cengkaman China, ia adalah ‘bonus besar’ buat AS dalam usahanya untuk menekan dan menundukkan China.
Namun setelah Joe Biden menjadi Presiden AS, pentadbirannya telah membawa polisi dan dasar luar AS ke arah yang bertentangan iaitu dengan memusuhi serta melancarkan perang proksi ke atas Rusia.
Tindakan ini menerima kritikan yang amat keras dari Trump kerana bercanggah dengan apa yang diusahakan sebelum ini.
Ternyata benar, sejak meletusnya perang Ukraine-Rusia, Rusia telah beralih arah dan menjadi akrab dengan China.
Keakraban Rusia dan China telah meledakkan penolakan hegemoni Barat di seluruh dunia baik dari sudut geopolitik mahupun ekonomi.
Bukan hanya AS, Kesatuan Eropah (EU) turut menerima nasib yang sama, bukan sahaja semakin rapuh dan hilang pengaruh di seluruh dunia tetapi turut ditolak oleh majoriti penduduk-penduduk Eropah sendiri.
China dan Rusia mendapat untung besar daripada perang proksi yang dilancarkan Barat ke atas Rusia.
Rusia semakin mendapat tempat dihati penduduk negara-negara Eropah dan berjaya meluas serta mengukuhkan pengaruhnya di Afrika dan Timur Tengah.
Rusia berjaya membangunkan kembali ekonomi dan sektor ketenteraannya berikutan meningkatnya hubungan dagang dengan China dan negara-negara Selatan.
Berikutan itu pada tahun ini, Rusia telah dinobatkan sebagai negara ekonomi terbesar di Eropah memintas Jerman dan diletakkan sebagai negara kelima ekonomi terbesar di dunia mendahului majoriti negara-negara anggota Kumpulan Tujuh (G7).
China pula mendapat manfaat yang cukup besar kerana memperolehi sumber asli yang murah dari Rusia untuk menjana ekonominya sekaligus berjaya meletakkan China sebagai negara perindustrian terbesar dunia memintas AS.
Dengan menggunakan kuasa ekonominya, China telah berjaya mengukuhkan kekuatan geopolitiknya di serata dunia hingga berjaya menarik sekutu kuat AS di Timur Tengah menjadi rakan dagang utamanya.
Dalam usaha berterusan untuk melemahkan Barat khususnya AS, organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) telah diberikan nafas baharu oleh Rusia dan China.
Kini BRICS telah menjadi antara kumpulan ekonomi terbesar di dunia dan telah berjaya menambah keanggotaannya termasuk menarik lebih banyak negara untuk menyertainya.
Barat khususnya G7 ketika ini melihat BRICS sebagai ancaman terbesarnya sekaligus perlu ditamatkan riwayatnya.
Rentetan itu dipercayai Trump akan segera menamatkan perang antara Ukraine dan Rusia, bukan semata-mata kerana perang tersebut tidak membawa faedah langsung kepada AS, akan tetapi lebih kepada untuk menghancurkan keakraban serta menghalang kebangkitan China, termasuk Rusia yang ketika ini yang jelas telah mula melemahkan kekuatan dan cengkaman hegemoni AS ke atas dunia.
Dijangka langkah drastik, keras dan segera yang bakal mengejutkan dunia khususnya sekutu Baratnya bakal dilakukan pentadbiran Trump sebaik sahaja melangkah masuk ke Rumah Putih dalam usaha untuk menyelamatkan New World Order dan hegemoni Barat daripada berkubur.
Agenda kedua: Menamatkan perang antara rejim Zionis Israel dan ‘Axis Of Resistant’.
Perang yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza ketika ini benar-benar telah merosakkan reputasi dan melemahkan hegemoni AS dan Barat di seluruh dunia khususnya.
Tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan kerajaan ekstremisnya telah membuatkan AS dan Barat dipinggirkan dan menerima kecaman hebat dari seluruh dunia.
Menyedari apa yang bakal berlaku khususnya peperangan antara negara haram Israel dan Iran, dipercayai Trump dan pasukannya telah merangka sebuah pelan dan strategi komprehensif baharu Timur Tengah, yang membabitkan solusi dua negara demi untuk menstabilkan kembali keadaan, mengukuhkan kembali hegemoni Barat dan menyelamatkan negara haram Israel.
Walaupun berkemungkinan berhadapan dengan tentangan keras Netanyahu dan pentadbirannya, dipercayai Trump dan pasukannya akan memaksa Netanyahu menerimanya termasuk kemungkinan melakukan ‘regime change’ jika Netanyahu tidak menerimanya, di samping untuk meredakan keadaan di negara haram Israel yang sedang huru-hara itu.
Untuk itu Jared Kushner, menantu Trump yang juga merupakan bekas Penasihat Asia Barat Rumah Putih ketika Trump menjadi Presiden AS dahulu telah mengadakan lawatan menemui pemimpin Timur Tengah seawal Ogos lagi, bagi meneruskan agenda normalisasi dengan Zionis Israel yang akan dilaksanakan oleh Trump.
Dalam masa yang sama, pelan dan strategi komprehensif tersebut turut membabitkan keadah menundukkan Iran serta proksinya dengan pelbagai cara bagi melemah serta menghancurkan sebarang ancaman terhadap Zionis Israel.
Trump dan pasukannya juga turut menyedari bukan mudah untuk menumpaskan kumpulan seperti Hizbullah dan Ansarullah dengan berperang sebagaimana yang dilakukan tentera rejim Zionis Israel ketika ini di selatan Lubnan.
Oleh itu ketika ini sedang mula dilancarkan secara senyap operasi ‘pemberontakan’ terhadap Hizbullah di Lubnan.
Sehubungan itu, Duta Amerika Syarikat ke Lubnan, Lisa Johnson menggesa sekutu AS khususnya di Lubnan seperti Lebanese Forces (LF) untuk bangkit menentang Hizbullah.
Perkara sama turut dilaporkan berlaku di Yaman, Syria dan Iraq dalam usaha untuk melumpuhkan Iran serta jaringannya.
Akhirnya ramai penganalisa geopolitik antarabangsa menyatakan tindakan yang bakal diambil pentadbiran baharu Trump untuk menghentikan peperangan sama ada di Ukraine mahupun Semenanjung Gaza tidak akan mengubah keadaan ketika ini kerana dunia sudah tidak percaya lagi kepada AS dan Barat.
Apa yang bakal dilakukan Donald Trump dan pentadbirannya kelak hanya akan melambatkan sedikit proses matinya ‘New World Order’ ciptaan Barat.
Dunia telah mula beralih ke arah ‘multipolar’ dan meninggalkan Barat dengan demokrasi palsunya yang telah menjajah dunia sejak berakhirnya perang dunia kedua.
Semoga dunia akan kembali menyinar, aman sejahtera dan bebas dari cengkaman serta hegemoni Barat tidak lama lagi.
“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin” – HARAKAHDAILY 16/11/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.