2 lagi bot nelayan Vietnam dijadikan tukun tiruan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan akan dilabuhkan esok untuk dijadikan tukun tiruan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim.

- Advertisement -

“Insya-Allah pada 17 November 2024, kita akan labuhkan 2 buah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan Terengganu untuk dijadikan tukun tiruan,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosial miliknya.

Menurutnya, bot yang telah selesai melalui proses mahkamah dan lucut hak itu akan dilabuhkan kira-kira 5 batu nautika dari Pantai Beting Lintang, Besut.

“Awok-awok kita di Beting Lintang tunggu Pok Cik Man deh…,” tambahnya yang juga ADUN Jabi.

Beliau menjelaskan, selepas bot nelayan asing ditahan oleh anggota penguatkuasa seperti Maritim Malaysia, ia akan melalui proses mahkamah.

Katanya, tekong dan awak-awak yang disabitkan bersalah biasanya dijatuhkan hukuman denda dan penjara sementara bot dan segala peralatan akan dilucut hak.

Menurut beliau, pihak Maritim Malaysia akan mengeluarkan tender untuk proses pelupusan bot.

“Enjin dan segala peralatan lain akan ditanggalkan. Hanya badan bot sahaja yang ditenggelamkan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 16/11/2024