Tingkat tahap penguasaan BM dalam kalangan murid

Wan Razali Wan Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sangat komited untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Melayu (BM) dalam kalangan murid tanpa diskriminasi berasaskan kaum, jenis sekolah, lokasi bandar, luar bandar dan pedalaman termasuk sekolah vernakular.

- Advertisement -

Menurut menterinya, KPM juga telah membangunkan Kerangka Standard Bahasa Melayu yang dapat dijadikan rujukan standard kecekapan berbahasa semua pengguna BM termasuk kecekapan berbahasa murid sekolah.

Katanya, KPM telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) di bawah Reformasi Pendidikan sebagai lonjakan kepada usaha meningkatkan tahap penguasaan BM murid.

Jelasnya, antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah pelibatan menyeluruh murid dalam aktiviti kebahasaan, Program Sahabat Bahasa di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang berkonsepkan rakan membimbing rakan, Program Intervensi Kecemerlangan Bahasa Melayu, pembudayaan Bahasa Melayu yang betul melalui hantaran media sosial dengan penandaan dinamik #semarakmbmmbi #sahabatbahasa.

Selain itu, ujarnya Pembangunan Profesionalime Berterusan kepada guru Bahasa Melayu, terutama guru bukan opsyen dengan melaksanakan Latihan Intervensi Kecekapan Berbahasa kepada guru-guru bukan opsyen dari pelbagai jenis sekolah rendah dan menengah termasuk SJKC dan SJKT.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam soalannya, Wan Razali meminta Menteri Pendidikan menyatakan bagi tempoh antara 2020-2023 tahap penguasaan Bahasa Melayu dari aspek penulisan dan komunikasi mengikut pecahan kaum utama bagi sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular dan tindakan pihak kementerian bagi meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.

Selain itu, kata menteri itu lagi, KPM juga menjalinkan hubungan strategik dengan pihak badan bukan kerajaan (NGO) Misalnya, Majlis Bahasa Cina Malaysia yang sentiasa berkolaboratif dalam melaksanakan program kebahasaan yang melibatkan murid SJKC dan SJKT.
“Pelaksanaan aktiviti ini bagi menggalakkan keberkesanan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan murid sekolah dan seterusnya memartabatkan bahasa Melayu yang selari dengan Dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI),” ujarnya.

“Semua usaha ini dapat membantu meningkatkan kecekapan berbahasa Melayu dan meningkat pencapaian BM pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” KATANYA. – HARAKAHDAILY 15/11/2024