TAWAU: Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain, menggesa Perdana Menteri Ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya bersikap tegas berhubung konflik Israel-Palestin.
Beliau berkata, kerajaan perlu tegas menyokong perjuangan rakyat Palestin dan tidak bercanggah dengan memberi sokongan kepada kewujudan Israel.
Katanya, ini berikutan wawancara Anwar bersama stesen televisyen Amerika Syarikat, CNN baru-baru ini apabila PMX dilaporkan menyatakan bahawa Israel mempunyai hak untuk wujud dan mempertahankan diri.
“Kenyataan itu menimbulkan kritikan kerana dianggap tidak konsisten dengan pendirian majoriti rakyat Malaysia yang tegas menyokong Palestin dan menentang penindasan rakyat Palestin oleh Israel.
“PMX perlu tegas dan konsisten dalam setiap keadaan, bukan sehingga sanggup menyatakan sokongan terhadap kewujudan negara Israel.
“Isu ini sangat sensitif bagi rakyat Malaysia, terutama umat Islam yang mengharapkan pendirian yang tidak berubah daripada kerajaan dalam menyokong Palestin,” tegasnya.
Mustaman turut mengingatkan bahawa Malaysia perlu mengukuhkan pendirian secara menyeluruh dan jelas di peringkat antarabangsa dengan menyokong sepenuhnya perjuangan Palestin tanpa sebarang sokongan kepada Israel.
Menurutnya, ini penting agar mesej Malaysia dalam isu kemanusiaan ini tidak tergugat atau disalah tafsir oleh komuniti antarabangsa.
Beliau juga menggesa Anwar agar memastikan pendirian Malaysia tidak bercanggah dan terus menjadi contoh dalam menyuarakan isu keadilan dan hak rakyat Palestin tanpa pengecualian. – HARAKAHDAILY 15/11/2024