Pengusiran penduduk Palestin jenayah perang – HRW

Penduduk Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza berikutan ancaman tentera Israel
- Advertisement -

BAITULMAQDIS: Laporan terbaharu yang diterbitkan oleh Human Rights Watch (HRW), mendakwa tindakan Israel memaksa pengusiran penduduk Palestin di Gaza sebagai sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Berikutan dakwaan itu, Israel pula menuduh HRW menggunakan retorik palsu dan tidak berasas.

- Advertisement -

Laporan ini merupakan yang terbaharu dalam siri laporan oleh badan bantuan dan organisasi antarabangsa yang memberi amaran mengenai situasi kemanusiaan yang sangat teruk di semenanjung yang terkepung itu.

“HRW mendapati pengusiran paksa berlaku secara meluas dan bukti menunjukkan bahawa ia adalah satu tindakan yang sistematik dan sebahagian daripada dasar Israel. Tindakan itu juga merupakan jenayah terhadap kemanusiaan,” menurut laporan itu, semalam.

Jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein, berkata bahawa usaha Israel “hanya tertumpu kepada memusnahkan keupayaan keganasan Hamas dan bukan terhadap penduduk Gaza, berbeza dengan Hamas yang menggunakan orang awam sebagai perisai manusia dan menyembunyikan infrastruktur keganasan di kawasan kediaman.”

“Israel melihat segala kerosakan terhadap orang awam sebagai satu tragedi, manakala Hamas melihat segala kerosakan terhadap orang awam sebagai satu strategi. Israel akan terus beroperasi mengikut undang-undang konflik bersenjata,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan.

Hamas menafikan bahawa pertubuhan pejuang Palestin itu menggunakan orang awam sebagai perisai manusia atau menyembunyikan pejuang dan senjata di kemudahan seperti hospital dan sekolah.

Undang-undang konflik bersenjata melarang pengusiran paksa penduduk awam dari wilayah yang diduduki, kecuali jika diperlukan untuk keselamatan orang awam atau sebab-sebab ketenteraan yang mendesak.

Israel menyerang Semenanjung Gaza tahun lalu selepas Hamas melancarkan serangan di selatan Israel. Pihak berkuasa Israel mendakwa serangan itu mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menculik lebih 250 orang sebagai tebusan.

Sejak itu, kempen ganas Israel mengorbankan lebih 43,500 orang dan merosakkan sebahagian besar infrastruktur kawasan itu, memaksa kebanyakan daripada 2.3 juta penduduk berpindah beberapa kali.

Selama sebulan yang lalu, tentera Israel memaksa puluhan ribu penduduk Palestin berpindah dari kawasan utara Gaza untuk memusnahkan pasukan Hamas yang didakwa berkumpul di sekitar bandar Jabalia, Beit Lahiya dan Beit Hanoun.

HRW berkata, pengusiran penduduk Palestin “kemungkinan besar dirancang untuk menjadi kekal di zon penampan dan koridor keselamatan”, satu tindakan yang menurut mereka akan membawa kepada “pembersihan etnik”.

Tentera Israel seperti biasa menafikan bahawa mereka berhasrat untuk mewujudkan zon penampan kekal, dan Menteri Luar Negeri Israel, Gideon Saar, berkata bahawa penduduk Palestin yang dipindahkan dari rumah mereka di utara Gaza akan dibenarkan pulang selepas perang berakhir. – REUTERS