KUANTAN: PAS Pahang ingin menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan cuaca ekstrem yang sedang melanda negeri ini akibat Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga awal tahun hadapan.
Menurut Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), taburan hujan yang tinggi dijangka akan memberi kesan kepada beberapa daerah di negeri Pahang, terutamanya di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Sehubungan itu, ujarnya PAS Pahang menasihatkan semua pihak untuk mengambil langkah-langkah berikut iaitu penduduk di kawasan berisiko tinggi diminta untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa tempatan dan memastikan dokumen penting dan barangan berharga disimpan di tempat yang selamat dan tinggi.
Di samping itu, kata beliau sediakan beg kecemasan yang mengandungi keperluan asas untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hari dan simpan nombor-nombor telefon kecemasan yang penting.
“Kepada para pemimpin tempatan dan sukarelawan, sila pastikan pusat pemindahan sementara dalam keadaan bersedia, tingkatkan pemantauan di kawasan-kawasan berisiko dan pastikan sistem saluran air dan longkang dalam keadaan baik,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
PAS Pahang juga mengingatkan semua pihak untuk mengelakkan aktiviti rekreasi di kawasan sungai dan air terjun, jangan memandu melalui kawasan yang dinaiki air dan sentiasa ikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT melindungi negeri Pahang dan penduduknya daripada sebarang musibah dan malapetaka,” ujarnya yang juga ADUN Tanjung Lumpur.
Beliau turut memetik maksud firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”. – HARAKAHDAILY 15/11/2024