MB Terengganu ziarah keluarga Almarhum Tun Daim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman telah menziarahi keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin di kediaman keluarga itu di Bukit Tunku, di sini semalam.

- Advertisement -

“Berkesempatan menziarahi ahli keluarga Almarhum Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan yang telah mengadap Ilahi. Akan kami kenang khidmat bakti dan nasihat daripada Almarhum,” ujar beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Menurut Dr Ahmad Samsuri, Almarhum Tun Daim sebelum ini pernah memberi khidmat bakti dan nasihat semasa sesi perkongsian bersama pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu dalam penggal yang lalu.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman yang turut serta dalam ziarah itu telah menyampaikan salam dan ucapan takziah daripada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada keluarga Allahyarham.

“Dalam perbahasan Kementerian Kewangan di Parlimen kelmarin, saya merakamkan ucapan takziah dan penghormatan kepada Tun Daim Zainuddin, mantan Menteri Kewangan Malaysia.

“Pastinya segala jasa bakti beliau amatlah besar terhadap pembangunan negara dan anak bangsa. Semoga semuanya dikira sebagai amal soleh di sisi Allah SWT,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Kehadiran Dr Ahmad Samsuri dan isteri serta Syahir bertemu balu Tun Daim, Toh Puan Naimah Abdul Khalid dan anak-anak serta keluarga terdekat. – HARAKAHDAILY 15/11/2024