KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan penyasaran subsidi diesel melalui program BUDI Agri-Komoditi iaitu pemberian bantuan tunai sebanyak RM2,400 setahun kepada pekebun kecil persendirian Agrikomoditi (tanaman sawit, getah, koko, lada, dan kenaf) di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta petani kecil (tanaman, akuakultur, dan ternakan) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, sehingga Oktober 2024, seramai 5,975 pekebun kecil persendirian Agrikomoditi dari kawasan Padang Terap telah dikenal pasti layak menerima bantuan.
Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 1,388 pekebun kecil persendirian Agrikomoditi yang telah diluluskan permohonan BUDI Agri-Komoditi.
“Manakala bagi petani dan penternak di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang turut menerima manfaat bantuan BUDI Agri-Komoditi, seramai 456 petani dan penternak di kawasan Padang Terap yang telah berdaftar dengan KPKM dan layak menerima bantuan BUDI Agri-Komoditi.
“Sehingga Oktober 2024, dilaporkan seramai 32 petani dan penternak telah menerima bantuan tersebut,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) di Dewan Rakyat, semalam.
Nurul Amin dalam soalannya meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan berapa sasaran penerima yang layak daripada pekebun kecil, petani dan penternak Padang Terap menerima Budi Agri-Komoditi dan berapa daripada mereka yang sudah menerima bantuan tersebut. – HARAKAHDAILY 15/11/2024