Tambah baik sistem kaunseling latihan ketenteraan

Komander (B) Nordin Ahmad Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) membangkitkan isu berkaitan insiden seorang pegawai kaunseling Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dikasari oleh seorang motivator serta seorang veteran bekas pegawai.

- Advertisement -

Nordin juga mengulas pengalaman peribadinya sebagai bekas pegawai kadet universiti tempatan juga menjadi mangsa buli tetapi tidak melibatkan kekerasan fizikal seperti penggunaan seterika terhadap tubuh badan.

Justeru, beliau menekankan kementerian agar insiden ini perlu membuat rombakan terhadap sistem sedia ada termasuk penambahan langkah untuk memastikan pegawai lama turut menerima kaunseling atau dipindahkan jika perlu yang bukan hanya pegawai baru.

“Zaman saya, saya borak dengan kawan-kawanlah… Kita ni bekas daripada maktab tentera memang ada regimen ini, tapi tak adalah sarkastik sampai guna seterika.

“Janganlah seterika pun nak diharamkan sebab budak-budak ni kena seterika baju. Mohon penjelasan kepada menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam soalan asal, beliau minta Menteri Pertahanan menyatakan usaha dan kaedah yang sedang dilakukan oleh kementerian bagi memastikan kegiatan buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dinoktahkan.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementeriannya mengakui dan mengambil pertanggungjawaban berkenaan kes-kes buli yang berlaku di bawah Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) melibatkan pegawai kadet.

“Kementerian ini tidak berkompromi dengan perilaku sedemikian dan akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat aduan atau laporan dibuat,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2024