KOTA KINABALU: “Sehari dua ini heboh dengan isu audio rasuah. Saya tidak ingin mengulas soal kesahihan rakaman tersebut,” kata Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.
Menurutnya, rasuah merupakan satu malapetaka besar kepada manusia yang boleh menyebabkan kerosakan dan menjadi barah yang sangat berbahaya kepada sistem pentadbiran.
Tambahnya, Islam mendidik para penganutnya bahawa harta haram itu bukan sahaja berdosa kepada semua yang digunakan olehnya, sehinggakan menjadi umpan neraka yang membakar dirinya.
Sebab itu, ujarnya dalam Islam perbuatan rasuah termasuk dalam senarai dosa-dosa besar.
Katanya lagi, Rasulullah SAW dalam hadisnya menyatakan, pemberi dan penerima rasuah akan dimasukkan ke dalam neraka Allah SWT.
“Syariat Islam menetapkan hukuman takzir terhadap kesalahan rasuah dan semua yang berkaitan dengannya,” ujarnya yang juga ADUN Dilantik dalam satu kenyataan, di sini.
Tambahnya lagi, takzir ialah suatu hukuman mengikut budi bicara dan kebijaksanaan pihak yang berkuasa.
“Hukuman yang setimpal dengan kadar kesalahannya dijatuhkan, supaya ia dapat menakutkan dan mendidik semua pihak termasuk masyarakat umum, bukan sahaja golongan penjenayah,” katanya.
Sehubungan itu, kata beliau PAS Sabah mengharapkan pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes isu audio rasuah itu sampai ke akar umbi.
“PAS Sabah mengharapkan pemberi dan penerima rasuah mesti dihukum dengan setimpal dan sewajarnya.
“Selamatkan negara daripada pengkhianat dan penipu, maka akan sejahteralah Malaysia dan seluruh rakyatnya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2024