POKOK SENA: Penduduk Kampung Telaga Mas, di sini kini menarik nafas lega apabila masalah bekalan air di kampung terbabit berjaya diatasi.
Atas inisiatif Syarikat Air Darul Aman (SADA), sebuah rumah pam telah dibina untuk mengatasi masalah tersebut.
Hampir 300 akaun terjejas sejak dua tahun lalu termasuk 40 akuan yang menghadapi keadaan yang agak kritikal.
ADUN Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood berkata, rumah pam berkenaan bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan bekalan air di 300 akaun terjejas, sebaliknya mampu memanfaatkan kepada 300 akaun yang lain.
“Masalah bekalan air penduduk kampung ini telah dua tahun berlarutan. Pelbagai tindakan telah diambil tetapi tidak dapat mengatasi sepenuhnya masalah ini,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Beliau menambah, sebelum ini, SADA bertindak dengan membantu menghantar bekalan air kepada penduduk terjejas.
Kata Ustaz Salim lagi, selepas lima hari rumah pam itu beroperasi, pihaknya tidak lagi menerima aduan berkenaan masalah bekalan air daripada penduduk kampung tersebut.
“Usaha ini juga merupakan tindakan jangka sederhana dan terima kasih atas keprihatinan Kerajan Negeri dan SADA membantu menyelesaikan masalah penduduk Telaga Mas ini,” kata beliau lagi.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air serta Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria, turut hadir meninjau operasi rumah pam di kampung berkenaan. – HARAKAHDAILY 14/11/2024