KUALA LUMPUR: Kesuburan tanah merupakan salah satu faktor penting yang menyumbang kepada peningkatan hasil pengeluaran, produktiviti dan pertanian mampan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Katanya, kebanyakan negara tropika termasuk Malaysia, menghadapi cabaran berkaitan kesuburan tanah akibat taburan hujan dan kadar larut lesap unsur penting yang tinggi, tanah berasid dan degradasi tanah.
“Pelbagai teknologi telah diguna pakai secara meluas di Malaysia menerusi program pengembangan yang dilaksanakan oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) di Dewan Rakyat, semalam.
Dalam soalannya, Nik Zawawi meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan cadangan dan langkah yang telah atau sedang diambil pihak Kementerian bagi menangani kegagalan Malaysia dalam menggunakan teknologi rawatan tanah bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan negara sebagaimana dilaporkan oleh USDA 2023.
Menurut menteri itu lagi, pihak penyedia teknologi swasta dari dalam dan luar negara turut melaksanakan perkara yang sama seperti penggunaan perapi tanah dengan menambah bahan seperti kapur atau sulfur untuk mengubah suai atau memperbaiki pH tanah bagi meningkatkan ketersediaan nutrien supaya baja yang dibekalkan dapat diserap oleh tanaman. penggunaan sumber bahan organik seperti bagi penghasilan kompos yang boleh digunakan untuk meningkatkan kesuburan serta kesihatan tanah di samping dapat menyeimbangkan penggunaan baja kimia.
Selain itu, ujarnya penggunaan biochar, bahan seperti arang yang dihasilkan daripada pirolisis biojisim yang bermanfaat untuk memperbaiki struktur tanah, pengekalan air dan ketersediaan nutrien, pembajakan yang minimum untuk memperbaiki struktur tanah yang padat dan ditambah dengan sumber bahan organik untuk memperbaiki struktur serta kualiti tanah bagi pertumbuhan tanaman yang baik, penyediaan sistem saliran dan pengairan yang baik supaya dapat meningkatkan produktiviti tanaman ke tahap yang optimum, penggunaan baja kimia untuk menampung kadar keperluan nutrien penting tanaman bagi meningkatkan produktiviti dan memperkenalkan mikroorganisma yang bermanfaat kepada tanah dan tanaman untuk meningkatkan aktiviti biologi dan kitaran nutrien.
Tambahnya, pertimbangan pemilihan teknologi rawatan tanah bergantung kepada pelbagai faktor seperti jenis dan sifat tanah, keperluan tanaman, keberkesanan produk atau teknologi rawatan dan pertimbangan kos.
“Pertimbangan secara teliti faktor-faktor ini dan pemilihan teknologi yang sesuai, rawatan tanah yang dilaksanakan akan lebih berkesan dan dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran hasil tanaman dan kesihatan tanah selaras dengan pendekatan pertanian mampan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 14/11/2024