Lengkapkan kajian Hang Tuah di UNIMEL

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pameran Hang Tuah anjuran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) serta kajian dari Pusat Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan Hang Tuah bukan lagi suatu perkara yang retorik.

- Advertisement -

Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkata, Hang Tuah dikatakan pernah mengembara ke pelbagai tempat seperti Jepun di Ryukyu, kerajaan India (Vijayanagara), Turki, Yaman dan Aceh.

“Adakah kerajaan pusat mempunyai tekad untuk membantu kerajaan Melaka bagi melengkapkan kajian tentang Hang Tuah yang diletakkan di bawah Universiti Islam Melaka (UNIMEL)?

“Hang Tuah mempunyai satu karakter jati diri yang sangat bijaksana, diplomasi dan juga menjadi ikon perpaduan sehingga boleh diangkat sebagai ikon perpaduan dan jati diri Melayu.

“Selain itu, Universitas Hang Tuah milik Tentera Laut Indonesia telah menjadi tempat pembelajaran ilmu pelayaran dan daratan, dan boleh datang ke sana kerana banyak sekolah-sekolah pelayaran atas nama Hang Tuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam soalan asal, beliau minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan usaha yang dilakukan membawa pulang artifak dan manuskrip lama yang berkaitan sejarah Tanah Melayu yang dijarah di zaman penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris dan disimpan di luar negara seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri I, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata kementeriannya kini sedang menyediakan kertas dasar berhubung pemerolehan dan usaha membawa pulang artifak untuk diangkat bagi kelulusan Jemaah Menteri.

“Perkara ini perlu diberi perhatian mendalam dengan menjadikan ia sebagai satu agenda nasional kerana usaha untuk membawa pulang koleksi atau manuskrip bersejarah negara bukanlah suatu kerja mudah. – HARAKAHDAILY 14/11/2024