KUALA LUMPUR: Malaysia telah memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN (Kesatuan Negara-Negara Asia Tenggara) sebanyak empat kali sebelum ini iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mengucapkan tahniah kepada Malaysia yang memegang jawatan itu pada tahun hadapan untuk kali kelima selepas 2015.
“Saya tidak mempunyai masalah dari segi peruntukan. Saya nak lihat pengisian utama yang harus ada ialah dialog antara ASEAN dan China. Sebelum ini, dialog antara ASEAN dan Amerika Syarikat (ASEAN-US) pernah diadakan.
“Apakah dialog yang pernah dibuat sebelum ini akan diteruskan supaya kedaulatan Laut Cina Selatan terjamin?” katanya ketika mencelah penggulungan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar Negeri di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Tegas Shahidan, isu Laut Cina Selatan menghadapi masalah besar kerana China terus membuat tuntutan terhadap pulau-pulau dan kawasan di situ, termasuk kehadiran kapal pengawal pantai China di pelantar minyak Malaysia, serta tuntutan di kawasan melibatkan Filipina.
Beliau menekankan perlunya pendekatan yang lebih tegas dan berkesan dalam memastikan kedaulatan Laut Cina Selatan dipertahankan, bukan sekadar dengan nota bantahan semata-mata.
“Malaysia cuma menghantar nota bantahan sebagai reaksi terhadap tindakan China, berbanding Filipina yang mengadakan peperangan kecil di kawasan itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2024