KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk membuat siasatan yang adil mengenai spekulasi video rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, isu tersebut semakin serius apabila individu berkaitan telah mengutuskan surat terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pembelaan.
“Dalam surat tersebut, pengadu terpaksa mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong rentetan dirinya diancam bunuh selepas membuat pendedahan lapan rakaman video yang dibuatnya.
“Selain mendakwa dirinya tertekan dan terpaksa dengan prosedur yang tidak adil dalam mendapatkan tender projek negeri Sabah,” katanya dalam akaun media sosial Facebook Pemuda PAS Malaysia hari ini.
Katanya, Kerajaan Negeri Sabah membuat penafian atas dakwaan dilontarkan dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyatakan bahawa pihaknya sedia memberi kerjasama kepada SPRM untuk membuat siasatan.
“Selain itu, Umno Sabah menafikan menjadi dalang di sebalik penularan dakwaan skandal rasuah di negeri tersebut. Meskipun skandal ini sensasi, ia tidak bermakna pihak yang didakwa sudahpun bersalah.
“Kita mesti akur dengan prinsip perundangan sejagat iaitu tidak bersalah selagi mana tidak terbukti bersalah,” ujarnya turut menasihatkan warga maya supaya lebih berwaspada mengenai isu sebegini.
Kata beliau lagi, pihak berautoriti khususnya SPRM mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk tangkas bertindak dalam dakwaan tersebut.
“Maka, kita berharap SPRM akan membuat siasatan secara telus, adil dan menyeluruh serta mengambil tindakan yang sewajarnya jika terbukti ada salah laku dan rasuah,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2024