KUALA LUMPUR: Perancangan dasar menekankan kepentingan untuk mengekalkan keseimbangan antara perdagangan antarabangsa dan kedaulatan negara dalam ASEAN (Kesatuan Negara-Negara Asia Tenggara).
Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, kerajaan seharusnya berhati-hati untuk membezakan perkara itu kerana negara ASEAN bukan sahaja berkongsi lautan tetapi juga mempunyai hubungan rapat dari segi sempadan dan ukhuwah.
“Adakah kerajaan akan menubuhkan usul keselamatan maritim serantau dan negara ASEAN sebagai asas untuk menggubal akta sempadan di Parlimen masing-masing?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar Negeri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Mumtaz yang juga Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia berkata, dasar dan resolusi untuk menjaga kepentingan negara ahli serantau juga perlu terutamanya dalam menghadapi kuasa besar.
“Apakah reaksi kita dalam kes yang berlaku di antara China dan Filipina yang juga merupakan ahli anggota ASEAN,” soalnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2024