KUALA LUMPUR: Hukuman Qisas mampu menangani jenayah akibat dari perbuatan buli seperti yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) daripada terus berulang.
Pendakwah, Ustaz Zaharudin Muhammad berkata, hukuman pemberhentian pengajian sahaja tidak mencukupi dalam menangani isu sebegitu.
“Qisas di sini bermaksud jika dia tekap atas perut dengan seterika panas, maka hukumannya mangsa membalas balik tekap dengan seterika dengan saiz, suhu dan bilangan yang sama,” katanya.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Buloh itu menghurai demikian satu kenyataan dimuat naik dalam akaun media sosial Facebook beliau kelmarin.
Menurut Ustaz Zaharudin, hukuman tersebut bertujuan supaya pesalah merasai apa yang dilakukan terhadap pihak mangsa itu sendiri.
Tambah beliau, hikmah daripada hukuman Qisas ini ialah untuk memasukkan perasaan takut kepada mana-mana pihak yang ingin melakukan jenayah.
“Hikmah yang besar ialah hukum Islam ini Allah buat untuk cegah mana-mana jenayah dengan memasukkan perasaan takut kepada bakal penjenayah itu sendiri.
“Dengan kata lain, bila senior nak buli budak junior, maka dia akan teringat bahawa jika ditangkap benda sama juga akan dia rasa,” ujarnya.
Sehubungan itu, Zaharudin menyatakan hanya kaedah sebegitu sahaja dapat menghalang mana-mana individu melakukan sebarang jenayah sebelum ianya dilakukan.
“Hanya Allah yang mampu masukkan amaran ketakutan dalam hati bakal penjenayah waktu dia nak buat jenayah,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2024