ALOR SETAR: Jabatan Mufti Negeri Kedah akan mengeluarkan fatwa berkenaan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) dalam tempoh terdekat, selewat-lewatnya bulan hadapan.
Mufti Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang berkata, keputusan yang akan dikeluarkan oleh Kedah tidak akan bercanggah dengan keputusan yang dikeluarkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kerana ia melibatkan perkara besar.
“Berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Muzakarah MKI yang diadakan sebelum ini, telah memutuskan bahawa ajaran yang dibawa oleh GISBH masih terikat dengan ajaran dan amalan yang dibawa oleh Jemaah Al-Arqam.
“Khususnya dalam aspek amalan dan kepercayaan tertentu yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sahih. Keputusan ini telah dibawa dan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja bagi mendapatkan nasihat dan keputusan lanjut,” jelas beliau.
Syeikh Fadzil berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini hari ini
Di Kedah katanya, apabila isu GISBH mula mendapat perhatian dan menjadi perbincangan hangat di kalangan warga net, pihak GISBH telah mengambil tindakan sendiri dengan menutup beberapa pusat pengajian milik mereka.
Situasi ini jelasnya, membuatkan isu GISBH di Kedah agak berbeza dan tidak memerlukan tindakan pihak berkuasa yang berlaku di negeri lain, seperti penutupan premis dan tangkapan.
“Sebelum menghadiri muzakarah MKI, saya sendiri telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi GISBH. Dalam pertemuan itu sebahagiannya mengakui terdapat penyelewengan dalam amalan mereka, tetapi ada yang menafikan.
“Namun, mereka bersetuju untuk diperbetul dan menerima teguran jika ada kesalahan yang berlaku dan berharap aktiviti ekonomi mereka tidak diganggu,” tambah beliau lagi.
Dalam masa sama kata beliau, mereka juga bersedia untuk dipandu ke jalan yang benar dari segi amalan dan kepercayaan sekiranya jemaah tersebut disahkan menyeleweng dari ajaran Islam sebenar. – HARAKAHDAILY 14/11/2024