Dera untuk bina ketahanan fizikal dan mental?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan budaya buli yang sekali lagi menjadi topik hangat mutakhir ini di media arus perdana mahupun media sosial sebagai barah secara sistemik di seluruh negara dan kritikal di beberapa institusi.

- Advertisement -

Sayap PAS itu dalam satu kenyataan berkata, hal ini rentetan daripada berlakunya kes buli yang menyebabkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengalami kecederaan parah tempoh hari.

“Menurut siasatan polis, ada kes yang mana pembuli menyatakan tindakannya hanyalah gurauan, walhal mangsa mengalami kecederaan parah.

“Perkara ini menimbulkan persoalan tentang pendekatan dalam membentuk ketahanan dan jatidiri pelajar khususnya pelatih tentera,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook DPPM, hari ini.

DPPM turut berkata, kes-kes yang melibatkan penderaan fizikal dan emosi ini menggambarkan perlunya penambahbaikan dalam silibus yang dipraktikkan untuk menangani budaya kekerasan kalangan pelajar.

Katanya lagi, pendekatan membina ketahanan fizikal dan mental serta semangat ketenteraan melalui penderaan adalah mitos kerana pendekatan ini lebih merosakkan berbanding membina jatidiri pelajar.

“Kesannya, pelajar yang melalui proses warisan ini mungkin lebih cenderung untuk mengulangi corak tingkah laku ini, sekali gus mewujudkan kitaran ganas yang berterusan.

“Jika ada kepercayaan bahawa budaya buli adalah sebahagian daripada proses pengujian ketahanan, maka ia harus dibuang dan diperbetulkan,” ujarnya. 

Selain itu, DPPM turut berkata, pencegahan sistemik di setiap peringkat perlu dilakukan termasuk kecenderungan kepada budaya buli seperti menyediakan uniform dan makanan kepada senior sama ada di sekolah berasrama dan institut pengajian tinggi.

Oleh itu, siasatan dan tindakan yang holistik perlu diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan sekecil-kecil kes dalam membasmi wabak ini.

Di samping itu, untuk memastikan seluruh institusi pengajian tinggi dalam negara sebagai tempat yang selamat dan membina, reformasi dalam pendekatan pengajaran dan latihan mesti dilakukan.

Tambah DPPM lagi, dasar membanteras budaya buli ini seharusnya dipraktikkan di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPKPT) dan juga perlu diserapkan di Kementerian Pertahanan.

Selain itu, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menggandakan amalan kerohanian dan penghayatan nilai Islam dalam silibus yang berkaitan dengan pendidikan.

“Adalah suatu yang mustahil bagi seorang pelajar ataupun kadet yang menjaga batasan dosa pahala akan melakukan budaya buli yang jelas ianya dimurkai Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2024