KUALA LUMPUR: Gejala zina tidak terkawal jelas mencerminkan kerosakan anak muda hari ini, yang akan memberi kesan buruk kepada generasi akan datang, demikian Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Imran Sulaiman.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri dalam satu kenyataan berkata berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu.
“Daripada jumlah itu seramai 17,646 remaja tidak berkahwin ketika hamil. Sebab itu, KPWKM berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung isu kehamilan remaja kerana sebahagian besarnya berlaku kepada remaja yang sudah bernikah secara sah menerusi perkahwinan mengikut adat.
“Sebab itu, KPWKM tidak mahu ia menjadi isu dalam negara, namun pelbagai usaha diambil untuk menanganinya,” katanya ketika menghadiri Forum Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial di Yayasan Sarawak anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPLN),” ujar Nancy.
Justeru Imran dalam kenyataannya itu berkata, bagi menangani isu ini daripada berleluasa semua pihak seharusnya mengambil serius terhadap perkara tersebut.
“Dengan itu, GAMIS mencadangkan pihak kerajaan perlu menyekat platform yang mempromosikan zina, termasuk media sosial yang digunakan untuk persundalan dan laman web yang mengandungi unsur zina.
“Kedua, ibu bapa seharusnya memberi penekanan kepada kefahaman agama dan memantau aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terjerumus ke dalam zina,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook GAMIS.
Beliau berkata, langkah-langkah ini amat penting untuk memastikan kesejahteraan generasi akan datang. – HARAKAHDAILY 14/11/2024