KUALA LUMPUR: Jalan persekutuan ke Gunung Jerai ialah Jalan Alor Setar–Butterworth (FT1), kata Menteri Kerja Raya.
Menurutnya, kementerian mengambil maklum masalah kesesakan yang dimaklumkan di jalan berkenaan.
Tambahnya, berdasarkan data terkini daripada stesen bancian lalu lintas di laluan berkenaan mendapati Tahap Perkhidmatan Jalan (Level of Service, LOS) di Jalan Alor Setar–Butterworth berada pada tahap LOS C iaitu aliran trafik stabil dengan sedikit kelewatan.
Sehubungan dengan itu, tiada keperluan untuk menaik taraf jalan tersebut pada masa kini memandangkan jalan sedia ada masih lagi mampu menampung aliran trafik.
Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Sabri Azit [PN-Jerai) di Dewan Rakyat, semalam.
Sabri dalam soalannya meminta Menteri Kerja Raya menyatakan adakah jambatan bagi menghubungkan jalan utama ke Gunung Jerai telah dibuat kajian untuk pembinaanya memandangkan kesesakan dengan pelancong yang semakin meningkat.
Kata beliau, sekiranya dalam proses kajian nyatakan tempoh masa yang diambil bagi menyelesaikan isu kesesakan pada musim cuti.
Walau bagaimanapun, ujar menteri itu lagi kementerian mengambil maklum akan isu yang dibangkitkan dan mengesyorkan supaya Ahli Yang Berhormat mengemukakan cadangan kajian tersebut kepada pihak kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri atau JKR Negeri untuk dimasukkan dalam senarai keutamaan Negeri dalam Rolling Plan (RP) yang akan datang.
Katanya, prosedur bagi permohonan projek membina jalan baharu atau menaik taraf jalan persekutuan sedia ada adalah melalui kerajaan negeri berdasarkan senarai keutamaan negeri yang dikemukakan kepada kementerian melalui penyelarasan antara Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Jabatan Kerja Raya Negeri.
“Kementerian ini akan meneliti cadangan projek ini apabila dimohon oleh kerajaan negeri berdasarkan senarai keutamaan negeri pada masa yang akan datang dan akan diberi pertimbangan yang sewajarnya untuk diangkat kepada Agensi Pusat jika memenuhi keperluan teknikal untuk dilaksanakan, tertakluk kepada agihan peruntukan pembangunan kepada Kementerian ini.
“Berdasarkan maklumat yang diterangkan tadi, kementerian ini sentiasa terbuka untuk menerima syor atau cadangan daripada Kerajaan negeri untuk menaik taraf atau membina baharu jalan berdasarkan senarai keutamaan daripada negeri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2024