‘Adakah peguam akan diganti dengan AI?’

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sejauh mana penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor perundangan dan kemungkinan AI menggantikan peguam pada masa hadapan.

- Advertisement -

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, bagaimana teknologi itu boleh membantu termasuklah dalam penyelidikan dan meringkaskan teks penghakiman mahkamah.

“Kita lihat tahun lepas di Singapura, kajian tentang penggunaan AI dalam tribunal tuntutan kecil telah dijalankan, sebelum ia diperluaskan kepada tuntutan lain.

“Jadi soalan saya, sejauh mana sebenarnya AI diteroka untuk membantu dari segi penyelidikan dan merumuskan teks panjang penghakiman mahkamah,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menyentuh tentang portal pendidikan seperti Lonek di Singapura sebagai contoh penggunaan AI yang boleh diterapkan dalam sektor undang-undang dan menyoal tentang impak teknologi ini terhadap profesion guaman.

“Adakah peguam akan diganti dengan AI, dan apa perancangan kerajaan untuk mengawal atau menyokong perkembangan ini?” tambahnya.

Menjawab soalan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, antara cabaran utama penggunaan AI ialah kebimbangan mengenai potensinya untuk menggantikan peranan manusia.

“Kita pun tak nak nanti satu hari AI pula nak ganti kita sebagai ahli parlimen,” ujarnya sambil menekankan isu etika.

Azalina turut memaklumkan, penggunaan AI dalam sektor perundangan semakin meluas di negara lain. – HARAKAHDAILY 14/11/2024