KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menyediakan Laporan Teknikal Sektoral berhubung insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini.
Menterinya berkata, laporan itu memberi fokus kepada penganalisisan data, hasil aktiviti pemetaan subpermukaan melalui survei geofizik menggunakan peralatan Ground Penetrating Radar (GPR) dan mengenal pasti tiada rongga batu kapur di zon-zon yang mengalami deformasi struktur tanah.
Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengguna pakai hasil laporan itu bagi menjalankan siasatan tapak secara terperinci melalui kaedah lubang gerudi (borehole) dan Ujian Proba Mackintosh (ujian penentuan keupayaan tanah) bagi memperolehi profil subpermukaan terperinci, memastikan integriti struktur tanah dan mempertimbangkan tindakan mitigasi yang sesuai.
Tambahnya, kementerian melalui JMG juga sedang menambah baik dan melengkapkan maklumat subpermukaan kawasan Lembah Klang yang meliputi 10 buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Projek Pemetaan Geologi Subpermukaan Greater KL (3DKL).
Menurutnya, projek itu berupaya menyediakan data dan maklumat geologi subpermukaan untuk pengurusan risiko bencana geologi termasuk kejadian mendapan tanah dan tanah jerlus.
“Data ini juga akan digunakan untuk perancangan pelan pembangunan khususnya di kawasan bawah tanah (stratum),” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed [PN-Kuala Terengganu] di Dewan Rakyat, semalam.
Ahmad Amzad dalam soalannya meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan apakah tindakan susulan Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ekoran insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India termasuk status laporan teknikal hasil siasatan berkaitan geologi dan struktur bawah permukaan dengan kerjasama Task Force Struktur Tanah Masjid India.
“Dalam konteks pengurusan bencana geologi tanah jerlus, kementerian ini melalui JMG berperanan menyediakan khidmat nasihat teknikal geosains melalui langkah-langkah pencegahan, mitigasi, adaptasi dan pemantauan,” ujar menteri itu lagi.
Katanya lagi, antara langkah pencegahan tersebut adalah pelaksanaan pemetaan bahaya dan risiko di lokasi tanah jerlus yang terancam serta didasari batu kapur, pemantauan berterusan pergerakan tanah melalui penderiaan jauh (remote sensing), penyiasatan tapak yang komprehensif dan penyediaan sistem saliran utiliti yang efisien.
Di samping itu, ujarnya aktiviti pembangunan dan pembinaan yang melibatkan kerja-kerja seperti pengepaman air bawah tanah, penggerudian, penerowongan dan perlombongan juga perlu dikawal bagi mengelakkan gangguan kepada regim air bawah tanah dan gegaran pada tanah. – HARAKAHDAILY 13/11/2024