KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengulangi tuntutan mewakili Kelantan dan turut disuarakan Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) berkenaan wang royalti petroleum.
Gesanya, bayaran tunai petroleum itu perlu dibayar terus kepada akaun Negeri, seperti mana yang diamalkan sejak sekian lama dan bukannya diserahkan oleh Petronas kepada Kementerian Kewangan (MOF).
“Kemudian baru MOF serahkan kepada Negeri. Ketelusan bayaran tunai ini amat penting kerana Bachok khuatir, kalau MoF terlebih bayar, kami terambil hak negeri lain.
“Tetapi kalau MOF terkurang bayar, negeri lain telah terambil hak kami,” ujarnya pada perbahasan Belanjawan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, di sini petang tadi.
Syahir juga turut mengulangi berkenaan amalan federalisme fiskal yang adil dan seimbang dengan mengesyorkan penambahbaikan fungsi dan operasi Majlis Kewangan Negara.
Kata beliau, ia supaya ianya menjadi forum dan ruang untuk negeri-negeri terus berkembang maju secara saksama, di samping cadangan untuk diwujudkan suatu mekanisma yang berkenaan.
“(Iaitu) seumpama ‘Independent Grant Council’ supaya pemberian geran kepada negeri-negeri diberikan secara bebas, lebih berobjektif dan tidak dipengaruhi oleh sentimen politik kepartian yang akhirnya rakyatlah menjadi mangsanya,” hujah beliau.
Syahir turut mohon maklum balas berhubung kenyataan Menteri Ekonomi yang turut disokong oleh Menteri Kewangan bahawa projek rintis telah dilaksanakan antara tahun 2022 dan 2023 melibatkan penggunaan kad pengenalan dan juga e-dompet di stesen minyak terpilih.
“Mohon YB Menteri menyatakan jumlahnya sahaja – jumlah stesen yang terlibat mengikut negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, juga jumlah pemegang kad pengenalan yang terlibat, mengikut kategori T15 dan bukan-T15,” ujarnya.
Beliau turut memohon pengesahan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan tidak mengambil sebarang gaji dan elaun di bawah peruntukan emolumen MOF.
“Selain itu, saya mengulangi syor bahawa sudah tiba masanya YAB Perdana Menteri tidak lagi memegang portfolio Menteri Kewangan.
“(Ini) supaya urusan kewangan dan perbendaharaan negara dikendalikan oleh seorang teknokrat yang profesional, secara sepenuh masa, tegas dan penuh integriti.
“Di kesempatan ini, izinkan Bachok merakamkan ucapan takziah di Dewan yang mulia ini, di atas pemergian Allahyarham Tun Daim Zainuddin, mantan Menteri Kewangan Malaysia.
“Pastinya jasa bakti beliau amatlah besar terhadap pembangunan negara dan anak bangsa. Semoga semuanya dikira sebagai amal soleh di sisi Allah SWT,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/11/2024