Strategi adaptasi teknologi dasar 4IR

Dr Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemunculan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dijangka dapat meningkatkan produktiviti sebanyak 30 peratus merentasi semua sektor menjelang tahun 2030.

- Advertisement -

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mempersoalkan sejauh mana perancangan kerajaan dalam mengadaptasi teknologi dasar itu untuk memastikan Malaysia dapat mencapai sasaran produktiviti dan daya saing global.

“Apakah strategi yang diambil untuk mengoptimumkan dana pelaburan bersama yang tertumpu kepada aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan dan inovasi dalam sektor berimpak tinggi seperti bidang elektrikal dan elektronik (ENE), aeroangkasa dan farmaseutikal?

“Selain itu, Pelabuhan Klang menyumbang 95 peratus kepada industri marin dan bagaimana kerajaan hendak menjamin kelancaran sistem logistik dan pengangkutan melalui segala infrastruktur yang baru dan sedia ada sekali gus meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kesesakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Hanifah Hajar Taib, berkata kementeriannya akan memberi jawapan secara bertulis tentang isu itu kerana terdapat banyak sudut yang perlu diperincikan.

“Kita perlu adaptasi dari segi IR dan ENE serta teknologi baharu dalam memastikan kemampanan dan mengikuti dari segi kepentingan ekosistem supaya ia dapat dilancarkan secara keseluruhan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2024