ZHUHAI: Rempuhan sebuah kereta berhampiran pusat sukan di bandar selatan China, mengorbankan 35 nyawa dan mencederakan 43 orang lain, menjadikannya antara kejadian rempuhan membabitkan banyak kematian di negara ini.
Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku pada malam Isnin di bandar yang mempunyai kira-kira 2.5 juta orang, yang terletak berhampiran Macau. Walaupun video dan imej yang memaparkan mangsa terjatuh serta kereta melarikan diri dari tempat kejadian tersebar di media sosial, pihak berkuasa mengambil masa hampir 24 jam untuk mengesahkan kejadian itu.
Polis tempatan mengesahkan bahawa pemandu yang dikenali sebagai Fan berusia 62 tahun, ditangkap selepas cuba melarikan diri dari tempat kejadian. Dia turut dimasukkan ke hospital akibat kecederaan serius yang dipercayai dilakukan sendiri menggunakan pisau pada leher dan beberapa bahagian tubuhnya.
Menurut polis, pemandu terbabit dikatakan mengalami tekanan akibat masalah pembahagian harta dalam kes perceraian.
Di tempat kejadian, orang ramai meletakkan bunga dan lilin sebagai tanda penghormatan kepada mangsa. Sekumpulan 30 orang dilihat berkumpul di sekitar pintu masuk pusat sukan itu, dengan pemandu penghantaran makanan turut berhenti menyumbang kepada deretan bunga yang diletakkan.
Menurut laporan media negara, Beijing Daily, kira-kira 300 petugas penyelamat dan lebih 300 kakitangan perubatan dari beberapa hospital di sekitar Zhuhai dan Guangdong dikerahkan untuk memberikan rawatan kecemasan.
Kejadian itu berlaku ketika Zhuhai menarik perhatian seluruh dunia dengan pertunjukan udara tahunan Tentera Pembebasan Rakyat China, apabila pesawat pejuang halimunan terbaru China dipamerkan buat kali pertama.
Seorang pemandu teksi yang dikenali sebagai Guo berkata, “Saya ingatkan siren yang kuat itu adalah untuk pertunjukan udara, tetapi tidak pernah saya dengar siren sekuat itu sebelum ini. Penumpang saya kemudian memberitahu saya tentang kejadian langgar lari, tetapi saya tidak menyangka ia begitu teruk.”
Presiden Xi Jinping mengarahkan supaya semua usaha diberikan untuk merawat mangsa yang cedera dan menuntut hukuman berat dikenakan terhadap pelaku serangan itu.
Kejadian begini jarang berlaku di China kerana undang-undang keselamatan yang ketat dan kawalan senjata api yang tegas. Bagaimanapun, laporan serangan dengan pisau semakin meningkat di bandar besar, menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan di tempat awam. – REUTERS