Penyelewengan sindiket pekerja asing, elak bayar kos

Dato' Sri Dr Ismail Abd Muttalib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Berlaku penyelewengan sindiket pekerja asing yang mengaut keuntungan dan mengelak daripada membayar kos tertentu.

- Advertisement -

Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berkata, sebanyak lebih 51 negara membekalkan pekerja asing kepada negara namun kes penyelewengan tetap berlaku.

“Kita ada lebih 51 negara sumber yang membekalkan tenaga kerja ke negara kita, dan kes penyelewengan, pengambilan pekerja asing, dan sindiket-sindiket yang terlibat cukup ramai.

“Saya tak tahu berapa sebenarnya, mereka mendapat untung, sepertimana yang disebutkan, bayaran yang tinggi dalam masa yang sama, mereka dapat mengelakkan bayaran-bayaran kos lain seperti SOCSO, EPF dan sebagainya,” katanya mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai jumlah sindiket yang telah dikesan oleh kementerian serta bilangan pekerja asing yang dibawa masuk tanpa mengikuti peraturan yang ditetapkan, selain jumlah pulangan hasil denda atau tindakan kerajaan yang boleh memberikan manfaat kepada negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, menjawab, angka-angka yang diminta berkaitan sindiket, denda dan tindakan akan disediakan secara bertulis.

“Angka yang melibatkan denda dan sebagainya dan ada perkara yang ditanyakan sebentar tadi, jawapan yang saya berikan hampir sama dengan apa yang boleh dinyatakan oleh pihak Tenom,” ujarnya.

Pada soalan asal, Riduan Rubin (BEBAS-Tenom) meminta menteri menyatakan adakah pihak kementerian bercadang untuk menetapkan harga siling bagi pengambilan pekerja asing di Sabah memandangkan kos tersebut pada ketika ini sangat membebankan dan apakah langkah bagi mengurangkan impak kos pengambilan pekerja asing agar keperluan industri dapat dipenuhi tanpa membebankan majikan. – HARAKAHDAILY 13/11/2024