KUALA LUMPUR: Pembinaan Masjid Titi Gantung di kawasan Parlimen Parit kini tergendala disebabkan beberapa masalah teknikal dan kewangan.
Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) menggesa kerajaan persekutuan memberikan peruntukan segera untuk memastikan projek pembinaan masjid itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Menurut beliau, projek pembinaan masjid tersebut telah berdepan dengan peningkatan kos yang mendadak serta pembatalan kontraktor yang telah dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan sekali gus menyebabkan projek tersebut tergendala lebih lama daripada yang dijangka.
“Untuk makluman pihak ahli jawatankuasa masjid telah pun mengusahakan sebagaimana diminta iaitu kutipan derma sebanyak sepuluh peratus daripada kos yang sepatutnya ditanggung namun peruntukan daripada pihak kerajaan masih lagi belum diberikan kepada
masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berharap agar kerajaan dapat memberikan perhatian serius terhadap masalah tersebut dan mempercepatkan proses pembiayaan projek.
“Saya berharap agar kerajaan persekutuan dapat membantu mempercepatkan proses agar pembinaan masjid ini dapat disiapkan pada tahun 2026 sebagaimana diharapkan oleh komuniti setempat,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2024