Pemuda PAS sokong PDRM banteras judi dalam talian

- Advertisement -

KANGAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs) menyambut baik usaha dan tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Perlis dalam membanteras aktiviti judi dalam talian dan loteri awam di negeri ini.

- Advertisement -

Ketuanya, Haziq Asyraf Dun menyatakan sokongan penuh terhadap operasi ini yang menunjukkan komitmen tinggi pihak berkuasa dalam menjaga keharmonian dan moral masyarakat, khususnya di Negeri Perlis.

“DPPNPs melihat aktiviti perjudian sebagai punca kepada keruntuhan moral serta perpecahan dalam masyarakat. Perjudian juga menyumbang kepada pelbagai masalah sosial seperti peningkatan kadar jenayah, keruntuhan institusi keluarga.

“Juga penyebaran sikap malas, dan ketergantungan kepada nasib,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau turut menegaskan, judi adalah dilarang keras dalam Islam, selaras dengan firman Allah SWT dalam ayat 90 surah Al-Maidah, ayat 90.

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan, oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Tegas Haziq, pihaknya berdiri teguh bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras gejala tidak sihat tersebut.

“Judi membawa kemudaratan besar kepada individu dan masyarakat secara keseluruhan.

“Justeru itu, kita menyeru masyarakat, khususnya di Negeri Perlis, untuk turut bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam melaporkan sebarang kegiatan perjudian yang diketahui.

“Hanya dengan usaha kolektif semua pihak, masyarakat yang harmoni, aman, dan bebas daripada elemen negatif seperti judi dapat dicapai,” tambahnya.

Premis judi terakhir ditutup di negeri ini pada 6 Mac lalu sekali gus merealisasikan agenda sifar kedai judi seperti dihasratkan kepimpinan kerajaan negeri.

Untuk rekod, terdapat enam premis judi beroperasi di negeri ini dengan empat ditutup tahun lalu dan yang kelima pada 31 Januari lalu. – HARAKAHDAILY 13/11/2024