KANGAR: Dalam usaha membentuk negeri yang lebih sejahtera dan berdaya huni, kerajaan negeri sedang melaksanakan transformasi pembangunan spatial holistik, dengan penekanan terhadap ekonomi berdaya saing, sosial inklusif, serta persekitaran mampan dan pintar.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kerangka pembangunan negeri menerusi Rancangan Struktur Negeri Perlis 2040 (Kajian Semula) bertujuan menjadikan negeri ini ke arah yang dikehendaki.
“Dalam konteks ini, Negeri Perlis akan dipacu menjadi negeri yang berdaya saing, mampan, pintar dan berdaya tahan serta mengalami pertumbuhan ekonomi yang berkembang maju untuk meningkatkan KDNK negeri, penjanaan peluang pekerjaan dan pendapatan penduduk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) peringkat negeridi Hotel Putra Brasmana, di sini semalam.
Selain itu ujarnya lagi, kerajaan negeri turut melancarkan dua pelan utama yang bertujuan meningkatkan landskap ekonomi negeri, iaitu Pelan Digital Perlis 2021-2025 dan Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan Negeri Perlis 2030.
“Kedua-dua pelan ini diharap dapat membawa Negeri Perlis mengorak langkah ke hadapan, terutamanya dalam pembangunan sektor pelancongan negeri,” tambah Mohd Shukri.
Menurutnya, pelan-pelan itu, apabila digabungkan dengan Rancangan Struktur Negeri Perlis 2040 (Kajian Semula), dijangka akan menjadi dokumen rujukan yang komprehensif dan holistik dalam memacu pembangunan negeri.
“Marilah bersama-sama kita memberikan komitmen melalui pengkongsian idea dan pandangan yang bermanfaat dalam membentuk dasar dan polisi pembangunan negeri ke arah penambahbaikan berterusan dalam konteks good governance dan delivery system.
“Kita telah menyediakan blueprint Perlis Bandar Pintar 2030, yang merangkumi perancangan fizikal, spatial, dan teknologi.
“Potensi sebenar bandar masa depan terletak pada keupayaan mentafsir semula kehidupan bandar melalui gabungan dinamik teknologi, dasar dan inovasi,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan teknologi juga dilihat dapat merancakkan pembangunan sektor pelancongan, terutamanya melalui penyelesaian pembayaran pintar.
Jelasnya, ia dapat memberi galakan kepada pelancong untuk melanjutkan tempoh penginapan, berbelanja lebih dan akhirnya meningkatkan ekonomi setempat. – HARAKAHDAILY 13/11/2024