KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menerima kunjungan Kaunselor Politik Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Chris Carver serta Pegawai Politik, Allison Chen di Ibu Pejabat Harakah, di sini sebentar tadi.
Dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, pelbagai topik dibincangkan termasuk pandangan PAS mengenai isu semasa politik tempatan dan antarabangsa.
“Saya turut berkongsi pendapat mengenai masa depan hubungan PAS dengan pentadbiran AS, terutamanya pada Pilihan Raya Presiden AS baru-baru ini yang dimenangi oleh Donald Trump.
“Ia adalah pertemuan bermakna yang membolehkan kami bertukar pandangan secara terbuka mengenai topik untuk kepentingan bersama dan melihat landskap antarabangsa yang berkembang.
“Pertemuan ini memberi peluang berharga untuk memupuk dialog dan mengukuhkan persefahaman antara kedudukan masing-masing,” katanya di Facebook pada Rabu.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut menyatakan pendirian tegas PAS bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menyatakan usaha mendukung sebarang usaha untuk menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Perubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Semoga pertemuan yang singkat tetapi amat bermakna ini dapat diteruskan di masa hadapan agar PAS terus kekal relevan, diterima dan bersedia mempersada perjuangan ke arah memerintah Malaysia.
“PAS akan terus kekal serius menarik sokongan ahli bukan Melayu dengan membuka ruang ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS untuk hak mengundi pada pemilihan parti akan datang.
“PAS juga menyatakan pendirian jelas bahawa sebarang usaha untuk koalisi politik di masa hadapan mesti menghormati isu fundemental di Malaysia terutama membabitkan isu Islam dan orang Melayu.
“Namun dalam sebarang keadaan, kekuatan utama Malaysia terutama menjaga keharmonian antara agama dan kaum terus menjadi perhatian utama PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2024