KKR diminta jelaskan ‘Border Security Road’

Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) diminta untuk memberi penjelasan sama ada telah mengadakan perbincangan bersama kementerian-kementerian lain berhubung isu ‘Border Security Road’ dan apakah status perbincangannya setakat ini.

- Advertisement -

Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) membangkitkan persoalan berkenaan selepas difahamkan bahawa ‘Border Security Road’ telah diserahkan di bawah kelolaan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bila bercakap berhubung dengan ‘Border Security Road’ ini, Yang Berhormat menyatakan tadi diserahkan kepada MKN di bawah kelolaan MKN, dan saya melihat bila bercakap soal border seperti itu, dia melibatkan kementerian.

“Saya rasa KDN (Kementerian Dalam Negeri) juga terlibat, angkatan tentera juga terlibat kerana dia melibatkan security border.

“Dan apakah setakat ini kementerian mengadakan perbincangan dan apakah status perbincangan hingga kini dengan kementerian-kementerian lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi ketika menjawab soalan itu berkata, terdapat perbincangan yang dilaksanakan oleh kerajaan bersama pihak agensi yang berkaitan berkenaan isu tersebut.

“Memang ada perbincangan di antara agensi-agensi yang berkaitan. MKN yang paling penting dalam projek yang dicadangkan sebagai ‘border security road’ ini. Itu di bawah bidang seliaan dan kuasa MKN,” katanya.

Mohd Suhaimi dalam pada itu turut membangkitkan persoalan berkenaan status pembinaan laluan jalan raya baru yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan ICQS Sadao seperti yang telah diumumkan November tahun lalu.

Alexander dalam jawapannya berkata, projek berkenaan dilaksanakan melalui konsesi di bawah seliaan KDN dan tidak melibatkan KKR.

“Projek itu adalah dilaksanakan melalui konsesi di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri, kami di KKR tidak terlibat, hanya memberi bantuan secara nasihat teknikal sahaja

“Jadi saya difahamkan memang proses itu berjalan, ada sedikit pengambil tanah dan juga ada perkara-perkara yang lain diperhalusi,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2024