KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengkritik kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad yang masih belum memberi penjelasan mengenai pemilihan Global Infrastructure Partners (GIP) sebagai operator untuk membangunkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menurutnya, GIP dianggap tidak layak untuk mengendalikan MAHB kerana rekod prestasi mereka yang kurang memuaskan, termasuk pengurusan lapangan terbang yang merugikan, seperti di Sydney.
Beliau juga mempertikai keputusan kerajaan yang tidak telus dalam melibatkan proses tender terbuka, serta tiada maklumat mengenai syarikat-syarikat yang disenarai pendek.
“Kita bercakap tentang ketelusan dan tadbir urus yang baik. Tetapi mengapa Khazanah, KWSP dan Kementerian Kewangan tidak menjelaskan hal-hal ini? Jika saya berada di dalam Dewan, saya akan mempersoalkan Menteri dengan lebih baik kerana di sini, ini sahaja tempat saya boleh bercakap,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Selain itu, beliau juga melahirkan kebimbangannya terhadap penjualan saham MAHB kepada entiti yang dikaitkan dengan BlackRock, yang didakwa memberi subsidi kepada pihak-pihak yang disifatkan menyokong Zionis.
Ahmad Fayhsal menyeru agar PNB dan KWSP tidak menjual saham mereka dalam MAHB kepada GIP, demi memastikan aset negara tidak jatuh ke tangan pihak yang dianggap berisiko.
“Jadi saya menyeru semua penjawat awam dan rakyat Malaysia untuk merayu dan mendesak PNB serta KWSP agar tidak menjual saham pegangan mereka dalam MAHB kepada GIP, BlackRock, Khazanah, dan KWSP kerana ini adalah cara terakhir. Benteng terakhir untuk kita memastikan lapangan terbang kita tidak jatuh ke tangan entiti yang prosis.
“Kalau tiada respons yang tuntas daripada kerajaan, kami akan bawa ke jalanan. Kami telah melakukannya sebelum ini dan kami akan melakukannya lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2024