Keluarga mangsa mati akibat pemandu mabuk tiada pembelaan

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Konsep diyat perlu dikaji secara lebih mendalam kerana Malaysia berpotensi menjadi peneraju dalam sistem ekonomi dan jenayah Islam, kata Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat).

- Advertisement -

“Kita ada mencadangkan tentang pengalihan (diversion), kita dihantar ke luar negara untuk belajar tentang ini, ke Australia, ke New Zealand.

“Dan kita dapati ini sangat bagus untuk membantu masyarakat, walau bagaimanapun bukan setakat diversion yang patut kita tengok tetapi sistem perundangan iaitu diyat juga perlu dilihat secara lebih terbuka kerana Malaysia menjadi peneraju kepada sistem ekonomi Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menambah, Malaysia juga boleh menjadi perintis kepada sistem jenayah Islam, khususnya dalam menangani kes-kes yang berlaku akibat kecuaian pemandu mabuk.

Mumtaz turut mengulas insiden kemalangan di Masjid Tanah melibatkan seorang pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian.

“Dalam hal ini kita perlu bukan hanya kepada tuntutan sivil atau tuntutan jenayah, tetapi tuntutan kepada diyat, kerana ini adalah satu keadaan untuk membantu pihak keluarga yang kehilangan ahli keluarga.

“Siapa yang akan menanggung kehidupan mereka yang ditinggalkan akibat kematian orang yang sengaja membahayakan orang lain akibat dari mabuk,” soalnya.

Mumtaz menekankan, kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk perlu dikaji lebih lanjut, dengan menyarankan pihak universiti turut terlibat dalam membuat kajian bagi mencari penyelesaian tuntas terhadap isu ini. – HARAKAHDAILY 13/11/2024