KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyambut baik hasrat Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar tidak menubuh syarikat bagi memonopoli perlombongan unsur nadir bumi (REE).
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, keputusan itu memberi peluang kepada negeri-negeri untuk menguruskan sumber nadirnya sendiri.
Katanya, Kelantan antara negeri yang dipercayai memilik sumber REE yang dianggar mencecah RM125 bilion daripada jumlah keseluruhan bernilai RM700 bilion yang terdapat di negara ini.
“Ini satu cadangan yang sangat baik, maknanya pihak kementerian bagi peluang kepada negeri-negeri dan kita mempunyai hak untuk berbincang dengan mana-mana syarikat berpotensi.
“Setakat ini sudah banyak syarikat datang berbincang, tinggal lagi nak cari yang terbaik, bukan hanya melombong tetapi prosesnya juga dibuat di di Kelantan,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Nik Nazmi ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat memberitahu kerajaan tiada hasrat menubuh syarikat untuk memonopoli REE sebagaimana dilakukan dalam industri minyak dan gas.
Dr Mohamed Fadzli berkata, pihaknya mempunyai senarai pendek syarikat terbabit.
“Bukan sahaja dngan Lynas sahaja, banyak pihak kita sudah bincang cuma setakat ini kita sedang mengenal pasti syarikat yang betul-betul mampu serta memberi tawaran lebih baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2024