FAM diminta sedia KPI, pelan perancangan pasukan kebangsaan

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri pada 3 September 2024 telah mengumumkan peruntukan RM10 juta daripada kerajaan dan RM5 juta daripada pihak swasta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memastikan persiapan pasukan kebangsaan dibuat dengan lebih berstruktur dan dapat mempertingkatkan prestasi pasukan.

- Advertisement -

“Peruntukan ini akan dipantau secara berkala oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Belia dan Sukan,” kata Menteri Belia dan Sukan dalam jawapan bertulis kepada soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden [PN-Alor Setar] di Dewan Rakyat, hari ini.

Afnan Hamimi dalam soalannya meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan hala tuju dan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang Kementerian terhadap perkembangan bola sepak tanah air dengan peruntukan RM15 juta kepada FAM termasuk kriteria pemilihan skuad Harimau Malaya mengambil kira prospek pemain naturalisasi atau pemain warisan bergred ‘A’..

Sehubungan itu, kata menteri itu lagi, FAM diminta untuk menyediakan Indeks Prestasi Utama (KPI) dan pelan perancangan pasukan kebangsaan, termasuk skuad bawah 23 tahun kebangsaan.

tambahnya, berkenaan pemain warisan atau pemain yang mempunyai pertalian darah keluarga dengan warganegara Malaysia, pihak FAM sememangnya mencari bakat-bakat baharu yang akan dikenalpasti dan dinilai oleh Ketua Jurulatih serta barisan Kejurulatihan Kebangsaan sebelum diserapkan ke pasukan kebangsaan.

“Manakala, bagi pemain naturalisasi pihak FAM telah menghentikannya di peringkat kebangsaan buat sementara waktu.

“Walau bagaimanapun, kelab bola sepak yang bernaung di bawah Malaysia Football League (MFL) masih boleh meneruskan program ini mengikut langkah dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/11/2024