KOTA BHARU: Pemimpin umat Islam khususnya di negara Arab diharap tidak termakan dengan apa sebarang kaedah pujukan Presiden Amerika Syarikat, Donald John Trump, khususnya untuk menangani perang di Palestin.
Pengerusi Gabungan NGO Suara Gaza, Nazri Deraman berkata, Trump dijangka akan meneruskan kaedah pemerintahannya sebelum ini dengan memberi tekanan teruk kepada negara Islam.
Pada masa yang sama menurutnya, umat perlu mengingati bahawa sebelum ini Trump semasa pemerintahannya yang lalu telah mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada tahun 2017.
Kata Nazri, walupun kempen terakhir Trump sebagai calon Republikan dilihat memberi gambaran baik antaranya dengan masyarakat serta pimpinan Islam di Amerika, namun ia hanya ‘kosmetik’ untuk dilihat baik di mata dunia.
Menurutnya, pengalaman dari penggal pertama yang dahulu menunjukkan Trump memihak sepenuhnya kepada agenda Israel tanpa mengambil kira hak-hak rakyat Palestin.
Pada masa yang sama menurut Nazri, kempen terakhir Trump untuk menamatkan konflik bersenjata di Ukraine juga menjadikan kemenangannya dalam pilihan raya itu.
“Ini kerana pada perkiraan saya, Amerika Syarikat mempunyai kepentingannya sendiri di Israel dengan moto yang diperkenalkan parti Republikan ‘Amerika First’.
“Ia berbeza dengan peperangan antara Russia dan Ukraine walaupun Amerika paling banyak membekalkan senjata pada Ukraine tetapi dalam konteks moto itu ‘Amerika First’ tidak akan membela Palestin,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kemenangan Trump pada pilihan raya baru-baru ini serta kesannya terhadap Palestin.
Nazri berpendapat, mungkin Trump boleh memberi tekanan kepada Ukraine untuk memberhentikan peperangan ini dengan harapan akan memberi tumpuan kepentingan Amerika di Timur Tengah berbanding Ukraine.
Gabungan NGO ini terdiri dari pelbagai NGO yang diketuai Perubahan R4Rakyat yang menggabungkan NGO dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Palestin. – HARAKAHDAILY 13/11/2024