KOTA BHARU: Kelantan akan menganjur program membabitkan pimpinan belia Kelantan dan Thailand sebagai usaha meningkatkan ilmu dan pengalaman terutamanya berkaitan bidang sukan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Hubungan Antara Kaum, Zamakhshari Muhammad berkata, hasrat itu dicapai hasil pertemuan dengan pimpinan belia dari Thailand baru-baru ini.
Katanya, pertemuan tersebut diadakan dengan pimpinan belia dari Institute Of Youth Life Quality Development yang diketuai pengerusinya Chanon Abdul Aziz Dalai.
“Mereka merupakan graduan universiti yang datang dari beberapa wilayah di Thailand,” katanya di sini.
Menurutnya juga hasil kerjasama tersebut, kerajaan negeri akan mengadakan program yang berkaitan sukan serta pertukaran pimpinan belia pada masa akan datang.
Kata beliau peringkat pertama dirancang diadakan sukan mahabah belia antara Kelantan-Thailand.
“Pertukaran pimpinan belia penting bagi menambahkan ilmu pengetahuan, memandangkan mereka merupakan bakal pelapis pemimpin negara masa hadapan.
“Alhamdulillah, kita sentiasa terbuka dan bersedia menerima kedatangan mana-mana pihak untuk berbincang demi kepentingan belia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/11/2024